Monday, January 4, 2010

Arkib Pelancaran CV 6 & CM8


Changan Berjaya sasar jualan 5,000 kenderaan

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Changan Berjaya Auto Sdn. Bhd. (Changan Berjaya) mensasarkan jualan kereta penumpang kompak ERA CV6 sebanyak 3,000 buah dan kenderaan pelbagai guna (MPV) model ERA CM8 sebanyak 2,000 buah pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk C. B. Khor berkata, unjuran itu dibuat selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang mencabar. ''Kami yakin dapat mencapai sasaran itu kerana kenderaan berkenaan ditawar pada harga mampu milik.

''Changan Berjaya juga menawarkan reka bentuk menarik dari Itali, teknologi terkini dari Jepun dan keunggulan kejuruteraan Jerman,'' kata beliau selepas pra-taklimat media tentang pelancaran ERA CV6 dan ERA CM8 di sini baru-baru ini.

Pelancaran kenderaan itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Corporation, Tan Sri Vincent Tan.

Khor berkata, Changan Berjaya berhasrat mengeluarkan 10,000 buah kenderaan bagi kedua-dua model yang mana 5,000 buah untuk dipasarkan di dalam negara dan bakinya untuk diedarkan di beberapa negara ASEAN.

''Kami akan memasarkan kedua-dua model tersebut di Singapura, Brunei, Filipina, Indonesia, Thailand dan Sri Lanka. Perjanjian memasarkannya dimeterai hari ini,'' kata beliau lagi.
Katanya, Changan Berjaya akan mula memasarkan model kedua-dua kenderaan itu di Singapura dalam masa terdekat ini, diikuti dengan Thailand menjelang April hingga Mei dan Indonesia pada bulan Julai atau Ogos ini.

''Changan Berjaya juga merancang untuk memasarkan kenderaan itu di Afrika Selatan. Kami sedang dalam perbincangan dengan pihak yang berkenaan dan berharap dapat memeterai perjanjian pada akhir tahun ini,'' tambahnya.

Kereta ERA CV6 merupakan model hatchback yang dijual pada harga RM36,862 dilengkapi antaranya penghadang sinar ultra, beg udara, rim aloi, power stering dan kerusi ergonamik.
Antara keistimewaan ERA CV6 ialah enjin Sino-Jepun dengan penggunaan minyak rendah bagi enjin injap 1.3 liter, boleh menjana kuasa 63 kW, 110 Nm tork.

Manakala bagi kenderaan MPV, ERA CM8 boleh memuatkan tujuh penumpang dengan harga permulaan RM37,716.80.
MPV tersebut diperkasa dengan enjin 16 injap, ringan dan menawarkan penjimatan bahan api.

Sementara itu, Khor menambah, bagi perancangan jangka panjang Changan Berjaya berhasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat pengeluar kenderaan model-model Changan Auto Co. Ltd bagi pemanduan sebelah kanan dengan ingin membina kilang pembuatan dan pemasangannya di sini.

No comments:

Post a Comment